Monday, 7 October 2013

Memahami Penyakit Sawan & Epilepsi

1. Epilepsi

Pergerakan aneh, pengsan dan sawan - Sawan atau tarik adalah rangsangan elektrik yang berlaku di dalam otak secara tiba-tiba yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam tingkahlaku atau aktiviti kanak-kanak tersebut. Ini dapat dilihat jika kanak-kanak:

- Diam seketika
- Tiba-tiba keliru atau hilang kesedaran
- Kaki dan tangan menjadi keras/kejang
- Kaki dan tangan menyentak-nyentak
- Tiba-tiba jatuh ke lantai

Ramai kanak-kanak yang boleh mengalami kejadian yang menyerupai sawan. Pergerakan aneh atau pengsan ini termasuklah :

- Terkejut
- Pergerakan normal semasa tidur
- Tindakan menahan nafas
- Reflex sawan anoxic (Reflex anoxic seizures)
- Pengsan
- Berangan

Apa itu epilepsi?

“Epilepsi” berasal daripada perkataan Greek “epilambanien”. Ia bermaksud “serangan”. Perkataan ini digunakan untuk menerangkan keadaan di mana serangan sawan yang berterusan berlaku tanpa sebarang rangsangan luar. Epilepsi juga dikenali sebagai “sawan babi”, “cho chin” dalam bahasa Mandarin ataupun “kaka valipu” dalam bahasa Tamil.

Nota:
Sawan yang disebabkan rangsangan adalah bukan epilepsi. Sawan jenis ini boleh disebabkan oleh kadar gula yang rendah di dalam darah, selepas berlakunya trauma kepada bahagian kepala, apabila terdapat perdarahan di dalam otak ataupun apabila mendapat jangkitan kuman di otak.

Siapa yang menghidap epilepsi?

Sekurang-kurangnya 1% dari semua kanak-kanak akan mendapat sawan yang berlaku tanpa rangsangan, tetapi hanya separuh dari kumpulan ini yang seterusnya akan mendapat epilepsi.

Mengapa anak saya menghidap epilepsi?

Epilepsi disebabkan oleh sel-sel otak yang tidak berfungsi dengan baik.. Sel-sel otak berfungsi dengan menjanakan aliran elektrik di dalam otak. Apabila aliran elektrik ini menjadi tidak stabil, seperti “short circuit” dan sawan akan berlaku. Kanak-kanak yang menghidap epilepsi ada kecenderungan untuk membentuk aliran elektrik otak yang tidak stabil. 

Ini disebabkan oleh:

- Faktor keturunan dan semula jadi mendapat sawan
- Pembentukan otak yang abnormal semasa pembentukan janin di dalam kandungan
- Kerosakan otak yang disebabkan oleh jangkitan otak, kekurangan oksigen / lemas atau pendarahan di bahagian otak.
- Penyakit otak yang berlanjutan, contohnya kanser otak atau penyakit yang menyebabkan otak semakin rosak.

Pemberian deskripsi yang jelas dan terperinci mengenai kejadian “sawan” yang berlaku adalah langkah utama untuk menentukan samada kanak-kanak tersebut benar-benar menghidap epilepsi . Ini kerana deskripsi yang baik akan membantu doktor untuk membuat diagnosa yang tepat.

Deskripsi yang jelas ini amatlah berharga kerana ia boleh mengurangkan ujian-ujian yang tidak diperlukan untuk kanak-kanak yang sebenarnya tidak mengalami sawan.

Deskripsi yang jelas mengenai serangan sawan akan memberikan doktor gambaran tentang jenis epilepsi yang dihidapi oleh kanak-kanak tersebut. Mengenalpasti jenis epilepsi boleh membantu doktor memilih rawatan yang sesuai.

Jenis-jenis epilepsi yang selalu dihidapi kanak-kanak ialah :

Epilepsi Rolandik

Ia adalah jenis epilepsy yang paling kerap dihidapi kanak-kanak. Ia selalunya bermula pada peringkat umur pertengahan dan akhir zaman kanak-kanak dan akan berterusan hingga ke zaman remaja.

Sawan ini disebabkan berlakunya rangsangan di kawasan otak yang bernama Rolandik. Penyakit sawan ini berlaku semasa tidur, dan mungkin bermula dengan rasa yang aneh di mulut atau bibir, air liur yang meleleh, atau kejang otot di kawasan sekitar mulut ketika kanak-kanak terjaga dari tidur. Selalunya kanak-kanak hanya akan menunjukkan tanda-tanda yang tersebut di atas, tetapi ada juga yang akan terus mendapat kejang otot di kaki atau tangan.


Childhood absence epilepsy

Ini juga dikenali sebagai epilepsi “petit mal”, dan ia bermula dari peringkat umur pertengahan dan akhir zaman kanak-kanak. Kebanyakan kanak-kanak akan pulih dari epilepsi ini menjelang usia remaja. Sawan ini melibatkan kanak-kanak itu diam secara tiba-tiba dan merenung jauh, tidak sedar akan keadaan sekeliling dan mata terkebil-kebil. Kanak-kanak akan pulih serta-merta selepas sawan ini dan kembali melakukan aktiviti yang dibuat sebelum sawan berlaku.


Generalised tonic clonic epilepsy

Ia juga dikenali sebagai epilepsi “grand mal”. Epilepsi jenis ini bermula selepas umur setahun. Ia bermula dengan pesakit tidak sedar secara tiba-tiba/ pengsan, diikuti dengan otot tangan dan kaki yang kejang dan kemudian menyentak-menyentak.

Sawan separa kompleks (complex partial seizures)

Sawan jenis ini berlaku pada semua peringkat umur. Apabila sawan ini berlaku, kanak-kanak dilihat menjadi keliru dan bercelaru. Apabila kanak-kanak lebih membesar, mereka boleh menyatakan yang mereka berasa pelik, berasa tidak sedap badan, atau mengalami gangguan penglihatan sejurus sebelum serangan sawan berlaku – ini dikenali sebagai “aura” atau pra-rasa yang berlaku sebelum sawan.

Epilepsi otak bahagian depan (frontal lobe epilepsy)

Epilepsi jenis ini menyebabkan sawan yang berlaku semasa tidur. Sawan ini menyerupai mimpi buruk, kanak-kanak tersebut akan dilihat menjadi keliru dan dalam ketakutan, dan akan menyentak-nyentak kaki dan tangan. Epilepsi ini sentiasa berlaku dalam corak yang sama dan kanak-kanak sukar dikejutkan sewaktu sawan berlaku. Selepas sawan, kanak-kanak biasanya akan tidur semula


Infantile spasms

Ini adalah sawan yang jarang-jarang berlaku dan hanya melibatkan kanak-kanak yang berumur kurang dari setahun. Bayi tersebut dilihat secara tiba-tiba menghadapi kekejangan yang kuat, samada badan, kaki dan tangan kejang dalam posisi lurus (extension) atau badan membengkok, tangan dan atau kaki membengkak. Sawan jenis ini selalunya berlaku berulang-ulang, kebiasaannya selepas bangun dari tidur.

Sawan yang kerap berlaku akan menyebabkan perkembangan kanak-kanak terbantut. Kanak-kanak dengan epilepsi jenis ini perlu mendapatkan rawatan yang segera dari pakar kanak-kanak.

Pemeriksaan kanak-kanak

Doktor perlu menjalankan pemeriksaan badan yang teliti, dan menjalankan penilaian terhadap tahap perkembangan dan kebolehan pemahaman kanak-kanak tersebut. Ini akan membantu mereka mengesan sebab-sebab epilepsi dan meramal kesan penyakit epilepsi itu terhadap diri kanak-kanak tersebut.


Ujian EEG (Electroencephalography) - Ujian EEG mengukur aktiviti elektrik di dalam otak, sama seperti ECG (electrocardiogram) yang mengukur aktiviti elektrik di bahagian jantung. Ujian ini tidak merbahaya. Ia dilakukan dengan meletakkan wayar elektrod pada kulit kepala. Corak aktiviti elektrik yang direkodkan dapat menentukan samada kanak-kanak tersebut menghidap epilepsi dan juga menunjukkan jenis epilepsi yang dihidapi.

Selalunya ujian yang diperlukan adalah ujian EEG sahaja. Ujian-ujian lain (bergantung pada jenis penyakit):


Ujian-ujian lain (bergantung pada jenis penyakit):

Ujian darah dan air kencing diperlukan di dalam kes-kes epilepsi yang rumit.
Dalam kes epilepsi yang tertentu, imbasan otak perlu dilakukan. Ujian ini melibatkan pengambilan gambar-gambar bahagian otak menggunakan mesin seperti Computed Tomography (CT) atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) scanner.

Rawatan Penyakit Epilepsi

Kanak-kanak yang menghidap epilepsi memerlukan rawatan sekiranya sawan kerap dialami dan menjejaskan kehidupan mereka. Anak anda mungkin memerlukan :

- Ubat-ubatan
- Pembedahan
- Rawatan alternatif

Rawatan Ubat-Ubatan Untuk Epilepsi

Ubat-ubatan adalah sangat berkesan dalam merawat kebanyakan pesakit yang menghidap epilepsi. Ubat ini perlu diambil setiap hari sehingga kanak-kanak tersebut bebas dari serangan epilepsi tersebut.

Ubat yang selalu digunakan di Malaysia adalah Sodium Valproate (Epilim), Carbamazepine (Tegretol), Clonazepam (Rivotril), Phenytoin (Dilantin), Lamotrigine (Lamictal), Topiramate (Topamax) dan Levetiracetam (Keppra).

Kesan-kesan sampingan utama pengambilan ubatan ini termasuk melalikan pesakit, ruam disebabkan alahan ubat, tidak boleh tidur malam, perubahan tingkah laku, turun atau naik berat badan.

Anda perlu menghubungi doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai ubat-ubatan ini.

Jika sawan tersebut sukar dirawat walaupun setelah menerima ubat-ubatan yang disebut di atas, maka kanak-kanak tersebut perlulah dirujuk kepada Pakar Kanak-Kanak Urat Saraf (Neurologist). Berikut adalah rawatan yang boleh diberikan :

Pembedahan

Sekumpulan kecil kanak-kanak yang menghidap epilepsi akan memerlukan pembedahan otak. Anda perlu merujuk kepada doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang selanjutnya.


Rawatan Alternatif

Stimulasi saraf vagal

Rawatan ini melibatkan alat elektronik yang diletakkan di saraf vagal pada bahagian leher pesakit. Ia akan merangsang saraf vagal secara berterusan, dengan harapan ia akan mengurangkan aktiviti elektrik yang berlebihan di dalam otak dan seterusnya mengurangkan kejadian sawan. Rawatan ini mahal dan mungkin tidak berjaya merawat sesetengah pesakit.


Pemakanan diet ketogenik

Diet jenis ini membantu mengurangkan sawan pesakit epilepsi yang rumit. Walaupun diet ini mengandungi banyak lemak dan sedikit karbohidrat, ia masih menpunyai protein yang secukupnya bagi membolehkan pesakit membesar secara normal dan kekal sihat. Diet ini sukar untuk diikuti dan mungkin tidak berjaya untuk sesetengah pesakit.


Rawatan Kecemasan Ketika Sawan

Rawatan kecemasan diperlukan jika kanak-kanak tersebut mengalami kekejangan yang serius. Dalam kes sawan ini, pesakit akan pengsan dengan tiba-tiba, tubuh-badan menjadi kejang diikuti dengan sentakan anggota kaki dan tangan.

Kanak-kanak jarang mati disebabkan sawan. Sawan yang berlaku sekali sahaja tidak membahayakan nyawa. Anda tidak berupaya untuk menghentikan sawan tetapi ada beberapa perkara yang patut dan tidak patut anda buat untuk membantu pesakit yang sedang sawan:

HARUS BUAT:

1. Sentiasa tenang. Jangan panik.
- Anda perlu berfikir dengan jelas untuk membantu kanak-kanak tersebut.

2. Perhatikan anak anda.
- Perhatikan anak anda semasa sawan (turutan peristiwa, pergerakan badan dan anggota, tempoh masa sawan)

3. Elakkan kecederaan
-Jangan alihkan anak anda.
-Alihkan anak anda hanya jika di dalam keadaan bahaya contohnya di tengah jalan atau tempat tinggi.
-Jauhkan anak anda dari benda-benda merbahaya.

4. Pusingkan anak anda ke kedudukan mengiring
-Ini akan mengelakkan kanak-kanak tercekik dengan air liur atau muntah sendiri

5. Berikan sokongan dan jadilah ibubapa yang sensitif terhadap perasaan anak anda
-Cakap dengan tenang dan perlahan, pastikan orang lain tidak mengerumuni anak anda

JANGAN:

1. Pegang anak anda dengan kuat.
-Biarkan sawan itu berhenti dengan sendiri.

2. Letakkan objek ke dalam mulut anak anda seperti sudu atau kunci.
-Ini hanya akan menyebabkan kecederaan kepada mulut dan lidah.

3. Berikan makanan atau ubat melalui mulut
-Tunggu sehingga sawan berhenti dan anak anda sedar sepenuhnya sebelum memberinya makan.

4. Lakukan CPR atau resusitasi mulut ke mulut.
-Anak anda tidak akan berhenti bernafas atau mati dari sawan yang sekejap.


-Biarkan anak anda tidur selepas sawan-


PENTING: Dapatkan pertolongan doktor jika sawan berterusan lebih dari 5 minit.

Jika anak anda sawan berulang-ulang dan panjang, doktor anda mungkin akan mengajar anda menggunakan ubat Diazepam (dimasukkan melalui dubur) semasa sawan.

Hidup Dengan Penyakit Epilepsi

♦ Penghadan makanan
♦ Epilepsi di rumah
♦ Pergi Ke Sekolah
♦ Epilepsi Dan Tingkah Laku
♦ Aktiviti Sukan Dan Rekreasi

Penghadan makanan

Tiada penghadan makanan untuk pesakit yang menghidap epilepsi. Setakat ini, tiada makanan yang diketahui boleh menyebabkan epilepsi.


Epilepsi di rumah

Pastikan anak anda tidak tercedera jika sawan berlaku di rumah. Kecederaan boleh berlaku di tempat-tempat berikut :

Di atas tangga : Gunakan penghadang di tangga. Elakkan tinggal di rumah yang mempunyai tangga yang tinggi atau balkoni yang besar.


Di dalam bilik air :
Kanak-kanak kecil perlu diawasi di dalam bilik air, adalah lebih baik jika pintu dibiarkan tidak berkunci.


Elakkan kolah mandi atau bekas/baldi besar di dalam bilik air anda.


Penggunaan alat pancuran air adalah lebih selamat.

Pergi ke Sekolah

Kanak-kanak yang menghidap epilepsi seharusnya digalakkan untuk melibatkan diri dengan aktiviti sekolah seperti kanak-kanak yang lain.

Guru sekolah patut dimaklumkan mengenai penyakit anak anda dan apa yang perlu dilakukan dan siapa yang patut dihubungi jika anak anda mengalami sawan di sekolah.

Ada kanak-kanak penghidap epilepsi mempunyai masalah pembelajaran. Masalah ini disebabkan epilepsi itu sendiri atau disebabkan terus oleh masalah otak (yang merupakan punca pesakit itu mendapat epilepsi).

Jika terdapat masalah pembelajaran, anak anda perlu berjumpa dengan pakar psikologi pembelajaran/klinikal untuk penilaian seterusnya. Langkah berjaga-jaga perlu diambil semasa aktiviti senaman dan sukan.


Epilepsi dan tingkah laku

Sebilangan kanak-kanak yang menghidap epilepsi mempunyai tingkah laku yang luar biasa. Ini boleh dikaitkan dengan epilepsi atau disebabkan terus oleh masalah otak yang menyebabkan epilepsi.

Contoh tingkah laku yang luar biasa ini adalah:

- Terlalu aktif
- Cepat marah atau merajuk
- Agresif dan tingkah laku yang mengganggu orang lain
- Tingkah laku autisme

Apabila tingkah laku ini sukar untuk dihadapi, dapatkan nasihat doktor.


Aktiviti sukan dan rekreasi

Kanak-kanak yang menghidap epilepsi seharusnya digalakkan untuk hidup seperti kanak-kanak normal yang lain. Aktiviti sukan dan rekreasi sangat digalakkan.

Bagaimanapun, sesetengah aktiviti perlu diawasi contohnya :

Berbasikal : kanak-kanak harus memakai topi keledar dan berbasikal jauh dari jalan yang sibuk.


Berenang : perlu kawalan rapi pada setiap masa oleh orang dewasa yang bertanggungjawab di dalam dan sekitar kolam renang. Berenang di lautan tidak digalakkan.

Mendapatkan Bantuan

Adakah epilepsi berjangkit - Epilepsi tidak termasuk dalam kumpulan penyakit berjangkit. Ia tidak merebak jika seseorang itu rapat dengan pesakit epilepsi.


Adakah anak saya akan bergantung kepada ubat-ubatan - Kanak-kanak yang menghidapi epilepsi perlu mengambil ubat-ubatan sehingga pulih daripada masalah ini. Ubat-ubatan ini tidak akan menjadikan anak anda ketagih atau lemah.

Bila sawan tidak berlaku lagi dalam masa dua tahun, ubat-ubatan boleh dikurangkan secara beransur-ansur dan dihentikan. Risiko untuk mendapat sawan yang seterusnya adalah rendah iaitu kanak-kanak ini tidak bergantung kepada ubat-ubatan tersebut.
Adakah epilepsi berlaku disebabkan oleh hantu syaitan?

Walaupun ini merupakan satu kepercayaan popular dikalanagan rakyat Malaysia namun tiada bukti saintifik yang menyokong pendapat ini.

Kredit: GrupNutrisi RemediAlami Malaysia

3 comments:

  1. baby saya mengalami infantile spasm..sampai sekarang masih ada lg sawan tu

    ReplyDelete
  2. Anak sy berumur 4 tahun telah diserang sawan sejak 9 bulan yg lalu,biasanya selang 2 bulan.Pada mulanya mengambil Epilim tetapi ditukar kpd Keppra selepas Epilim didapati kurang berkesan.dlm tempoh 9 bulan telah 6x diserang sawan,kesemuanya semasa didalam tidur.

    ReplyDelete
  3. Anak saya berumur 11 tahun. Baru disahkan epilepsi melalui ujian eeg. Doktor beri ubat carbamazepine 200mg. Tetapi ubat tersebut tidak sesuai terhadapnya. Anak saya mengalami ruam merah yg teruk dari muka hingga kaki. Disertai rasa gatal yg sangat teruk. Hasil ujian darah pula mendapati kesan ubat tu telah menyebabkan radang dkt hati. Skrg doktor belum putuskan ubat utk mengantikan carbamazepine

    ReplyDelete

Forgotten Page

Assalamualaikum.. It’s been a while since my last entry.. lepas mak meninggal dunia, takde lagi perasaan utk menulis.. aku memilih utk memen...